
PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir kesihatan menyuarakan kebimbangan terhadap hukuman penjara lima tahun ke atas seorang warga asing kerana mengambil ubat pengguguran ketika kandungannya berusia 27 minggu sehingga menyebabkan bayinya dilahirkan pramatang sebelum meninggal dunia.
Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, kes ini mencerminkan kegagalan dari segi pencegahan, perlindungan dan belas ihsan, sambil menambah kurang maklumat berhubung latar kelahiran wanita itu.
“Kita tidak tahu sama ada dia menghadapi paksaan, eksploitasi, keganasan seksual, kesempitan kewangan, ditinggalkan atau ketakutan berkaitan status imigresennya.
“Tetapi, sistem bertindak dengan penahanan, pendakwaan dan pemenjaraan,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Khalib dalam kenyataan.
Beliau mempersoalkan sama ada wanita itu mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan reproduktif yang tepat pada masanya atau nasihat guaman memandangkan dia tidak diwakili peguam ketika mengaku bersalah semalam.
Beliau mengingatkan pengguguran dibenarkan di Malaysia, jika meneruskan kehamilan akan membahayakan nyawa atau menjejaskan kesihatan ibu.
Jelasnya, ancaman pendakwaan boleh menghalang wanita lain mendapatkan rawatan kecemasan selepas pengguguran atau komplikasi kehamilan.
“Pusat Galen menggesa wanita itu diberikan wakil guaman bebas dan nasihat bagi tujuan rayuan. Kerajaan juga perlu menyemak semula hukuman penjara terhadap wanita yang cuba menggugurkan kandungan mereka.
“Ia harus memperkukuh akses kepada pengguguran selamat dan sah serta penjagaan pasca-pengguguran bagi wanita memerlukannya tanpa mengira status perkahwinan mereka.
“Paling penting, Kementerian Kesihatan perlu memastikan perkhidmatan perancang keluarga awam tidak mendiskriminasi wanita bujang dan remaja dari segi dasar serta amalan sebenar.”
Semalam, Dayak Daily melaporkan Mahkamah Sesyen Kuching menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang wanita Indonesia berusia 21 tahun yang mengaku bersalah mengambil ubat pengguguran tanpa preskripsi sehingga menyebabkan kematian bayinya.
Ubat itu menyebabkan kelahiran pramatang seorang bayi lelaki sebelum meninggal dunia lima hari kemudian.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan berhubung perbuatan yang dilakukan dengan niat untuk menyebabkan seorang kanak-kanak mati selepas dilahirkan. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, wanita itu mengalami tekanan emosi selepas teman lelakinya dipenjarakan kerana memasuki Malaysia tanpa permit sah.
