PRU16: Undi PH atau Zahid PM, kata Pua

Tony Pua dari DAP, berkata PH kekal pilihan terbaik mentadbir negara, sambil memetik prestasi ekonomi negara dan nilai ringgit yang semakin meningkat di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Tony Pua dari DAP menyeru pengundi terus menyokong Pakatan Harapan (PH) pada PRU16, sambil mendakwa Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi, akan menjadi perdana menteri jika sebaliknya berlaku.

Berucap pada majlis makan malam kutipan dana DAP, bekas Ahli Parlimen Damansara itu, berkata tindakan mengundi parti ‘pengacau’ atau langsung tidak keluar mengundi pada PRU16 akan memberikan kelebihan kepada BN.

Label ‘parti pengacau’ dilontarkannya dipercayai merujuk Parti Bersama Malaysia pimpinan Rafizi Ramli, yang telah memecahkan undi PH sehingga menjurus kekalahan gabungan itu di dua kerusi pada PRN Johor, hujung minggu lalu.

“Jika anda memilih tidak mengundi atau mengundi parti pengacau, anda akan membiarkan kerajaan ini (tumbang), sehinggakan parti yang menang nanti pada PRU16 tidak lain dan tidak bukan adalah BN, dan perdana menteri anda yang seterusnya ialah Zahid.

“Adakah anda mahu Zahid Hamidi menjadi perdana menteri Malaysia seterusnya?” katanya dalam ucapan.

Pua, yang mempengerusikan Lembaga Disiplin DAP, mengakui masih ada reformasi dijanjikan PH belum ditunaikan, sambil menyifatkannya sebagai kerja yang ‘belum selesai’.

Namun, beliau menegaskan PH kekal sebagai pilihan terbaik mentadbir negara, memetik prestasi ekonomi negara dan nilai ringgit yang semakin meningkat di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Memetik pertumbuhan KDNK Malaysia 5.8% yang di luar jangkaan pada suku kedua tahun ini kesan perang Iran, Pua berkata ini berupa pencapaian sebuah kerajaan kompeten dan bebas rasuah.

Pua berkata, penting bagi pengundi keluar dan terus menyokong PH pada PRU16 bagi mengekalkan momentum pertumbuhan dan reformasi.

Katanya, pengundi mesti terus mengkritik, mendesak malah ‘marah’ kepada PH bagi memastikan gabungan itu menunaikan reformasi telah dijanjikan sebelum ini.

“Bagi janji yang belum ditunaikan, teruslah memarahi mereka, teruslah kritik mereka, teruslah desak mereka, supaya mereka menunaikan baki janji itu, tetapi pada masa yang sama teruslah menyokong mereka kerana mereka adalah parti yang berada di kedudukan terbaik (melaksanakan reformasi).”

Hubungan PH-BN mula keruh selepas BN memutuskan untuk bergerak solo pada PRN Johor 11 Julai. Sebelum ini, PH mahu dua gabungan bertanding sebagai sekutu, sama seperti pakatan yang mereka bentuk dalam PRN enam negeri, pada 2023.

Hubungan tersebut dilihat semakin merosot susulan keputusan BN membentuk pakatan dengan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos.

Author: admin