Taktik takutkan pengundi akan makan diri PH, kata Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa DAP akan kehilangan sokongan di Negeri Sembilan.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa usaha Pakatan Harapan (PH) menakut-nakutkan pengundi akan memakan diri dan meningkatkan sokongan terhadap parti Islam itu pada PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos depan.

Tuan Ibrahim berkata PH cuba menggambarkan ‘gelombang hijau’ sebagai ancaman terhadap kestabilan dan keharmonian bagi menakutkan pengundi Cina.

“Namun sejarah membuktikan, semakin kuat mereka cuba menakutkan pengundi Cina, semakin kuat mereka ditolak oleh pengundi Cina,” katanya pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos.

Beliau mendakwa pendekatan itu sudah menyebabkan DAP kehilangan sokongan di Johor dan Sabah.

DAP gagal memenangi sebarang kerusi daripada lapan yang ditandinginya di Sabah. Pada PRN Johor pula, parti itu hanya memenangi enam daripada 17 kerusi yang ditandingi, selain tewas di dua kubu kuatnya.

Tuan Ibrahim berkata serangan berterusan terhadap PAS hanya mengukuhkan momentum parti itu yang semakin berkembang di seluruh negara.

Katanya, gelombang sokongan berkenaan kini sudah merebak melangkaui negeri-negeri yang secara tradisinya menjadi kubu kuat PAS.

Beliau berkata pengundi hari ini lebih bermaklumat dan mampu menilai sendiri setiap naratif politik.

“Berhentilah cuba menakutkan rakyat dengan menggambarkan PAS dalam pelbagai bentuk.”

Tuan Ibrahim turut menolak dakwaan bahawa ‘gelombang hijau’ menyasarkan mana-mana kaum atau komuniti.

“Gelombang ini bukan menentang mana-mana kaum, agama atau masyarakat. Kita sayangkan rakyat, kita sayangkan negara. Kita perlu jelas mengenai arah yang mahu dibawa untuk negara ini.”

Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa PH, khususnya DAP, menggunakan sentimen Islamofobia dengan terus memainkan isu ‘gelombang hijau’ bagi menimbulkan ketakutan dalam kalangan pengundi susulan kemajuan dicapai parti itu.

Author: admin