2,518 pegawai perubatan berhenti daripada 2024 hingga Jun 2026

Wad hospital doctor and patience and nurses
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, isu penghijrahan pakar libat pegawai perubatan bukan sesuatu yang unik di Malaysia, malah berlaku di seluruh dunia. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seramai 2,518 pegawai perubatan meletak jawatan daripada perkhidmatan kesihatan awam antara Januari 2024 dan Jun tahun ini, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Bagaimanapun, katanya hanya 71 pegawai perubatan, atau kurang 3% daripada jumlah keseluruhan, meletak jawatan untuk bekerja di luar negara.

Menteri itu berkata, isu penghijrahan pakar (brain drain) melibatkan pegawai perubatan bukan sesuatu yang unik di Malaysia, malah berlaku di seluruh dunia, terutamanya di negara membangun.

Beliau berkata, doktor-doktor ini sering berhijrah kerana pakej gaji, peluang kerjaya dan persekitaran kerja yang lebih baik ditawarkan di negara berpendapatan tinggi, yang turut memiliki mata wang lebih kukuh.

Tambahnya, mobiliti tenaga kerja adalah ‘suatu realiti yang tidak dapat dielakkan’ bagi mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi dan ekonomi terbuka.

“Keputusan tersebut merupakan pilihan peribadi yang dibuat berdasarkan pelbagai faktor,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen kepada V Ganabatirau (PH-Klang).

“Pada masa yang sama, aktiviti pengambilan bakat oleh sektor swasta atau agensi pencarian bakat asing yang berdaftar adalah dibenarkan, tertakluk kepada pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan yang berkuatkuasa di Malaysia.”

Author: admin