PRN Johor tunjuk kekuatan politik Melayu apabila bersatu, kata Dr M

Tun Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad menegaskan penyatuan Melayu bukan bertujuan menekan atau menidakkan hak serta

PETALING JAYA: Keputusan PRN Johor memperlihatkan kekuatan politik boleh kembali kepada orang Melayu apabila mereka bersatu, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata walaupun bentuk kerjasama yang berlaku masih samar dari segi ikatan dan pelaksanaannya, perkembangan berkenaan perlu diterima sebagai satu langkah ke arah memperkukuh kekuatan politik orang Melayu.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan penyatuan itu tidak seharusnya digunakan untuk mempertahankan kebatilan, melakukan perkara buruk atau menekan kaum lain.

“Ia harus diguna untuk mengangkat martabat orang Melayu, agama Islam dan kedaulatan tanah air kita,” katanya dalam kenyataan mengulas keputusan PRN Johor.

Mahathir tidak menyebut secara langsung bentuk kerjasama yang dirujuknya, namun pada PRN Johor, 11 Julai lalu, PAS mengarahkan ahli dan penyokongnya mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kawasan yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).

Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut menyatakan kesediaan parti itu membantu BN membentuk kerajaan sekiranya gabungan berkenaan gagal memperoleh majoriti mudah.

BN kemudiannya menang besar dengan memperoleh 48 daripada 56 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lapan kerusi.

PN pula tewas di semua 33 kerusi ditandinginya, membabitkan 16 calon Bersatu, PAS (11), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) (lima) dan Pejuang (satu).

Mahathir juga berkata penyatuan itu sepatutnya memberi keyakinan kepada orang Melayu untuk memperjuangkan kepentingan kaum mereka tanpa mempertikaikan hak masyarakat lain.

“Inilah cara yang kita pegang sejak dari kita merdeka dan ia telah berjaya memakmurkan orang Melayu dan kaum-kaum lain,” katanya.

Author: admin