3 polis antara diberkas samun warga asing

handcuff
Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah, berkata anggota polis terlibat perkenal diri sebagai polis sebelum arah mangsa serah barang berharga termasuk wang tunai dan emas.

PETALING JAYA: Tiga polis antara enam individu ditahan disyaki menyamun warga asing dalam dua kejadian di Kodiang serta Alor Setar.

Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah, berkata dalam kejadian pertama pada 27 Jun lalu, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah dekat kawasan Padang Sera, Kodiang.

“Mangsa bersama lima rakan serumah yang juga warganegara asing didatangi lima suspek yang memakai vest polis dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis kira-kira 12.20 tengah malam.

“Semua suspek masuk ke dalam rumah dan mengarahkan mangsa menyerahkan telefon bimbit. Mereka juga mengambil wang tunai berjumlah RM1,750 sebelum beredar dari rumah berkenaan,” katanya menurut Bernama di IPK Kedah, Alor Setar.

Beliau berkata, sekumpulan anggota skim rondaan sukarela (SRS) kawasan berkenaan menahan semua suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan, sebelum menghubungi polis di IPD Kubang Pasu.

“Siasatan kami mendapati dua daripada suspek adalah anggota polis yang masih bertugas di balai polis Perlis, manakala tiga lagi suspek adalah orang awam. Seorang daripada suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

“Hasil siasatan lanjut juga mendapati semua suspek turut terlibat dalam dua lagi kejadian samun berasingan yang dilaporkan di kawasan Kodiang. Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Adzli berkata dalam kejadian kedua pada 1 Julai, seorang anggota polis berusia 26 tahun yang masih bertugas di IPK Kedah telah mengambil sepasang subang emas di sebuah rumah di Jalan Langgar.

“Suspek telah ke rumah satu keluarga etnik Rohingya kira-kira 1.40 petang dan memperkenalkan diri sebagai polis. Suspek kemudiannya meminta mangsa menyerahkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik mangsa, isteri, dan tiga anaknya.

“Suspek turut merampas telefon bimbit mangsa, sebelum bertindak membuka sepasang subang emas dari telinga isteri mangsa… suspek kemudian menyerahkan kembali kad UNHCR dan telefon bimbit mangsa sebelum beredar menaiki motosikalnya,” katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan keesokan hari dan polis berjaya merampas kembali barangan disyaki disamun.

“Siasatan lanjut mendapati suspek turut terlibat dalam satu kejadian yang dilaporkan pada 30 Jun di kawasan Perumahan Polis Derga Jaya. Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Author: admin