
PETALING JAYA: Anwar Ibrahim meminta DAP Melaka mempertimbangkan semula keputusan untuk keluar daripada kerajaan negeri.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga perdana menteri itu berkata, beliau turut telah membincangkannya bersama Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh.
Anwar berkata, walaupun terdapat beberapa perkara yang tidak dipersetujui antara pihak terbabit, kerjasama demi kepentingan rakyat serta pembangunan ekonomi negeri perlu diteruskan.
“Saya tadi berbincang dengan Loke dan juga ketua menteri. Kalau boleh, runding dulu supaya tangguh sekejap, supaya kita boleh buat kerja dengan soal negeri.
“Saya ingin pilihan raya dulu sebaiknya. Walaupun ada dua tiga perkara tidak bersetuju, tidak mengapa,” katanya kepada pemberita selepas sebuah acara di Mukim Pasir Panjang, Port Dickson, lapor Utusan Malaysia.
Terdahulu dilaporkan DAP Melaka mengumumkan keluar daripada kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta, selepas DUN meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan tujuh Adun bukan eksekutif dilantik.
Ketua DAP Melaka Khoo Poay Tiong turut mengumumkan semua wakil parti itu dalam pentadbiran kerajaan negeri melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa serta-merta.
