Tak perlu bangkit isu pembebasan Najib, Zahid tegur Nga

zahid hamidi n nga kor ming
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata beliau akan menemui Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming bagi membincangkan isu pembebasan Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi menegur Nga Kor Ming supaya membuat kenyataan secara berpatutan selepas menteri DAP itu berikrar akan meletak jawatan jika bekas perdana menteri, Najib Razak, dibebaskan.

Zahid yang juga presiden Umno berkata, perkara sedemikian tidak perlu dibangkitkan kerana mereka kini dalam kerajaan perpaduan, bukannya di pihak bertentangan seperti dahulu.

“Kenyataan itu biarlah berpatutan kerana setiap minggu kita bertemu dalam mesyuarat Jemaah Menteri. Kalau dalam pembangkang, mungkin kenyataan itu boleh dianggap sebagai kenyataan yang seharusnya.

“Tetapi, apabila sudah bersama dalam kerajaan, tidak perlulah perkara begitu dibangkitkan,” katanya selepas Majlis Amanat Bersama Kontinjen TVET@KKDW ke Worldskills Shanghai di sini.

Zahid berkata, beliau akan menemui Nga, yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan, bagi membincangkan perkara itu.

“Tak apalah, saya akan jumpa dia. Dia kawan saya.”

Semalam, Nga dilaporkan berkata, beliau hanya berikrar akan meletak jawatan sekiranya Najib dibebaskan daripada hukuman penjara, bukannya jika Barisan Nasional mencatat kemenangan besar dalam PRN Johor.

Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun bagi kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International, selepas hukuman asal 12 tahun dikurangkan Lembaga Pengampunan pada 2024. Hukuman itu dijadualkan tamat pada 23 Ogos 2028.

Beliau turut dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dalam kes berkaitan 1MDB, namun telah memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu.

Author: admin