Strategi PAS menakutkan tak lagi menyengat, PH diberitahu

Charles Santiago
Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata andaian pengundi bukan Melayu tidak ada pilihan lain membangkitkan persoalan besar.

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Klang daripada DAP, Charles Santiago memberi amaran strategi menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu dengan imej agama PAS tidak lagi menyengat, mengambil kira prestasi hambar Pakatan Harapan (PH) pada PRN Johor.

“Ketakutan tidak lagi memadai untuk dijadikan pengganti kepada urus tadbir, reformasi, dan penyampaian perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan.

Menjelang PRN itu, calon dan pemimpin PH sering membayangkan mengenai bahaya sekiranya PAS memegang kuasa, di mana tindakan itu mendorong Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa taktik menakut-nakutkan menandakan gabungan tersebut berada dalam keadaan gelisah.

PH hanya menang lapan daripada 56 DUN ditandingi pada PRN Johor, Sabtu lalu. Walaupun DAP berjaya mengekalkan enam kerusi, parti itu tumpas di empat kubu kuat bandarnya.

Sambil menyifatkan prestasi PH di Johor sebagai peringatan, Santiago berkata, keputusan tersebut mencerminkan kekecewaan pengundi terhadap janji reformasi yang tidak ditunaikan yang ‘tidak sepatutnya dianggap terpencil dan diperlekehkan’.

Beliau berkata, PH tidak lagi menikmati monopoli undi masyarakat bukan Melayu, sambil menambah andaian pengundi bukan Melayu tidak mempunyai pilihan lain pastinya membangkitkan persoalan besar.

Katanya, pengundi muda bukan Melayu kini lebih terbuka menyokong Barisan Nasional (BN) dan Bersama.

“Jurang terbentuk ini menuntut satu refleksi yang serius.”

Beliau turut berpandangan, peluang PH untuk mengubah haluan semakin tertutup rapat, dan sememangnya satu bentuk kejahilan menganggap Johor sekadar ‘kekalahan pilihan raya yang kecil’.

“Ia juga merupakan satu referendum terhadap janji dimungkiri. Jika ini diabaikan, Negeri Sembilan mungkin akan menjadi babak seterusnya dalam kisah sama,” katanya.

Author: admin