
PETALING JAYA: Kumpulan majikan dan aktivis hak buruh menggesa kerajaan memastikan pusat transit pekerja asing tidak bertukar menjadi lapisan birokrasi baharu atau pusat tahanan pada hakikatnya.
Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman, berkata walaupun inisiatif itu berpotensi membantu menyelaraskan proses dokumentasi dan pemeriksaan kesihatan, keberkesanannya bergantung sepenuhnya kepada kaedah pelaksanaan.
“Sekiranya ia mewujudkan satu lagi lapisan prosedur, kelulusan atau dokumentasi, maka terdapat risiko berlaku kelewatan penempatan pekerja ke tempat kerja,” katanya kepada FMT.
Beliau turut memberi amaran sebarang kelewatan boleh menjejaskan jadual pengeluaran dan komitmen pelanggan bagi sektor kritikal yang memerlukan tenaga kerja segera seperti pembuatan, perladangan, pembinaan, perkhidmatan dan pertanian.
Pada 6 Julai lalu, Menteri Sumber Manusia, R Ramanan, dilaporkan berkata kerajaan meluluskan penubuhan pusat transit pekerja asing bagi menempatkan sementara mereka yang baru tiba di negara ini sebelum diambil majikan.
Ramanan berkata, pusat itu bertujuan mengurangkan kesesakan di lapangan terbang selain memastikan pekerja asing diserahkan kepada majikan yang memohon, bukan terus keluar dan bekerja dengan pihak lain.
Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata majikan kini sudah pun menanggung pelbagai kos tinggi termasuk levi, visa, perjalanan, penginapan, dan kos pematuhan perundangan.
“Penambahan caj baharu tanpa pengurangan kos di peringkat lain akan meningkatkan lagi kos operasi perniagaan,” katanya sambil menambah impak ini amat ketara kepada perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS).
Justeru, beliau berkata sebarang mekanisme pembiayaan wajib dibincangkan bersama pihak industri, dengan jaminan ia akan mempercepatkan proses kemasukan dan bukannya mengulangi prosedur sedia ada.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene Das, mengakui pusat transit boleh mengurangkan eksploitasi awal, namun mengingatkan perbezaannya dengan pusat tahanan tidak boleh wujud pada ‘nama’ sahaja.
Katanya, penempatan pekerja mesti dihadkan kepada tempoh paling singkat dan mereka tidak boleh dikurung atau dipaksa secara sewenang-wenangnya.
“Pekerja mesti kekal memegang pasport, dokumen peribadi, dan telefon bimbit mereka sepanjang tempoh tinggal bagi mengelakkan risiko buruh paksa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa badan bebas seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), NGO, dan wakil diplomatik diberikan akses terbuka tanpa pengumuman untuk memantau kemudahan tersebut.
“Tanpa menangani kegagalan sistemik seperti rasuah dan penipuan kontrak, pusat transit ini berisiko menjadi satu lagi lapisan dalam sistem migrasi yang cacat, bukannya penyelesaian bermakna,” katanya.
