
PETALING JAYA: Aduan dakwaan percanggahan dokumen kargo petroleum di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor, masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata seorang pemain industri.
R Jeyenderan yang membuat aduan itu menerusi e-mel pada pertengahan Jun memaklumkan perkara terbabit sedang dinilai Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM).
“Kami menghormati SPRM dan proses siasatan.
“Kami hanya mahu mengetahui status terkini dan sama ada maklumat tambahan diperlukan,” katanya dalam kenyataan.
Ketua pegawai eksekutif Maritime Network Sdn Bhd itu turut hadir ke ibu pejabat SPRM hari ini untuk mendapatkan perkembangan siasatan.
Media sebelum ini melaporkan kebimbangan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berhubung dakwaan percanggahan dokumen kargo petroleum kerana ia boleh membuka ruang kepada pelbagai bentuk salah laku.
Presiden Jais Abdul Karim dipetik berkata, SPRM wajar memberi perhatian segera terhadap dakwaan itu jika ada elemen rasuah, salah guna kuasa atau pemalsuan dokumen.
Dalam pada itu, Jeyendera percaya siasatan dan dapatan dalam aduan itu berpotensi memberi kesan lebih luas terhadap industri.
“Ia membabitan pematuhan kawal selia, hasil kerajaan serta keyakinan terhadap industri maritim dan petroleum,” katanya.
