Chegubard didenda RM5,000 kerana menghasut

Che Gubard-Badrul Hisham Shahrin
Mahkamah Sesyen Johor Bahru mendapati Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard bersalah, sambil perintah tertuduh dipenjara 20 bulan jika gagal menjelaskan denda.

PETALING JAYA: Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas didapati bersalah atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut, dua tahun lalu.

Hakim Rasidah Roslee membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan pada akhir kes pembelaan, lapor Berita Harian.

Chegubard diperintah menjalani hukuman penjara 20 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, Chegubard didakwa menerbitkan penerbitan menghasut menerusi media sosial sekitar 6.30 petang, 26 April lalu.

Menerusi hantaran itu, beliau didakwa mengaitkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, serta dua individu yang didakwa sebagai taikun judi dengan projek kasino di Forest City.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, peguam bela Rafique Rashid Ali, berkata hukuman denda itu menyebabkan Chegubard hilang kelayakan sebagai calon pilihan raya berdasarkan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

“Kita memohon supaya Chegubard tidak dikenakan hukuman penjara dan Alhamdulillah, mahkamah tidak menjatuhkan hukuman itu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kepada mahkamah Chegubard diberikan amanah oleh Parti Wawasan Negara (Wawasan) untuk bertanding pada PRN Negeri Sembilan.

“Namun, dengan hukuman denda RM5,000 ini, Chegubard tidak lagi boleh bertanding. Itulah keputusan mahkamah dan kami akur serta menghormatinya.”

Rafique berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen dalam masa terdekat.

Author: admin