Anwar harap laluan baharu rancakkan ekonomi Thailand-Malaysia

anwar ibrahim n Anutin Charnvirakul
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Thailand, Anutin Charnvirakul, di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah. (Gambar PMO)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim yakin laluan baharu menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Sadao, Thailand, akan menjadi pemacu ekonomi utama di rantau ini.

Bercakap pada majlis perasmian laluan itu, Anwar berkata Utara Malaysia perlu meneruskan usaha merancakkan pembangunan ekonomi demi manfaat rakyat di kawasan tersebut.

“Saya percaya terdapat keadaan yang sama di bahagian selatan (Thailand),” katanya ketika berucap pada majlis di ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Inisiatif baharu ini perlu dijadikan asas untuk melonjakkan ekonomi kedua-dua wilayah.”

Perdana menteri turut menyatakan keyakinan bahawa Malaysia dan Thailand mampu memperkukuh hubungan perdagangan dua hala selepas pembukaan laluan baharu itu, yang akan melancarkan pergerakan kenderaan serta meningkatkan operasi di pintu masuk sempadan.

“Tiada sebab lori perlu menunggu berjam-jam atau pemeriksaan di pintu masuk mengalami kelewatan yang tidak munasabah. Oleh itu, kita memerlukan pelepasan yang lebih pantas dan kos yang lebih rendah, yang akan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Anwar turut menyentuh kenyataan rakan sejawatannya dari Thailand, Anutin Charnvirakul, yang berkata rakyat menilai kerajaan berdasarkan keupayaan mereka menyampaikan hasil dan membawa perubahan sebenar, bukan sekadar retorik serta janji.

“Kita (Malaysia) telah membuktikannya melalui perjalanan luar biasa yang kita mulakan menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, dengan nilai perdagangan kini melebihi RM77 bilion.

“Saya kekal optimistik bahawa dengan komitmen kerajaan Thailand dan kerajaan Malaysia, kita mampu mencapai lebih banyak kejayaan,” tambah Anwar.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Anutin kerana hadir bersamanya ke Bukit Kayu Hitam, sambil berkata tidak banyak pemimpin yang mengunjungi kawasan sempadan kerana kebiasaannya mereka lebih gemar mengadakan pertemuan di ibu kota.

Pelancaran itu merupakan antara acara utama dalam lawatan rasmi dua hari Anutin ke Malaysia.

Anutin mengadakan pertemuan dua hala dengan Anwar di Putrajaya semalam bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama strategik Malaysia-Thailand, termasuk dalam bidang perdagangan, pelaburan, keselamatan sempadan dan pembangunan ekonomi.

“Apabila saya mencadangkan supaya Anutin datang ke Bukit Kayu Hitam, beliau berkata: ‘Ya, Anwar, mengapa kita tidak turun dan melihat sendiri — termasuk kawasan paling terpencil dan kurang membangun — bagaimana kita boleh menyumbang kepada kemajuan kawasan-kawasan ini.’

“Jadi saya menyanjung tinggi anda, Perdana Menteri Anutin. Terima kasih banyak,” katanya.

Author: admin