
PETALING JAYA: Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, dilantik sebagai ahli lembaga penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional(NFCC) atas kapasiti individu, menurut agensi itu.
Ketua Pengarah NFCC, Shamshun Baharin Jamil, berkata Azam dilantik ke lembaga penasihat itu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, berkuat kuasa 20 Sept 2024.
Beliau berkata tempoh pelantikan Azam adalah selama tiga tahun dan akan berakhir pada 19 Sept 2027.
“Keanggotaan beliau dalam lembaga penasihat NFCC tidak terikat dengan jawatan ketua pesuruhjaya SPRM dan kekal berkuat kuasa sehingga tamat tempoh pelantikan, melainkan ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan.
Azam menamatkan tempoh perkhidmatannya selama enam tahun sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada Mei lalu. Beliau digantikan oleh Abdul Halim Aman, bekas hakim Mahkamah Tinggi.
Semalam, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menggesa kerajaan menjelaskan sebab Azam dilantik menganggotai panel penasihat NFCC, dengan merujuk kepada beberapa kontroversi yang pernah dikaitkan dengan bekas ketua SPRM itu.
Kepimpinan Azam di SPRM sebelum ini dibayangi dakwaan pemilikan saham dalam syarikat tersenarai serta dakwaan bahawa pegawai SPRM bekerjasama dengan ahli perniagaan untuk memaksa pengambilalihan syarikat korporat.
Azam dan SPRM bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
Peguam Negara Dusuki Mokhtar merupakan pengerusi lembaga penasihat itu, manakala ahli lain ialah Shamshun, Ketua Polis Negara Khalid Ismail, CEO Lembaga Hasil Dalam Negeri Abu Tariq Jamaludin, serta Timbalan Gabenor Bank Negara Marzunisham Omar.
