
KAHERAH: Sekurang-kurangnya sembilan kanak-kanak maut, manakala dua lagi cedera selepas sebuah motosikal beroda tiga terjunam ke sebuah terusan di wilayah Asyut, selatan Mesir, pada Selasa, menurut pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.
Kemalangan itu berlaku di daerah Abu Tig, menurut kenyataan pihak pentadbiran wilayah Asyut.
Gabenor Asyut, Mohamed Alwan melawat lokasi kejadian bagi memantau operasi mencari dan menyelamat serta menyelaras tindakan bersama pihak pentadbiran, pasukan keselamatan dan agensi penyelamat.
Katanya, pihak pentadbiran wilayah menggerakkan semua sumber, sambil menegaskan melindungi nyawa dan keselamatan rakyat menjadi keutamaan.
Beliau turut mengarahkan pemasangan penghadang konkrit serta langkah keselamatan lain di kedua-dua tebing terusan dengan kerjasama pihak berkuasa sumber air dan pengairan bagi meningkatkan tahap keselamatan serta mengelakkan kejadian seumpama berulang.
Pihak pentadbiran wilayah mengesahkan sembilan mangsa maut dan dua lagi cedera setakat ini, manakala pihak berkuasa meneruskan siasatan serta tindakan lanjut di lokasi kejadian.
