4 pelajar MRSM disingkir akibat kes buli

Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki berkata, hukuman diputuskan oleh Jawatankuasa Disiplin Maktab MRSM yang bersidang hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Empat daripada enam pelajar MRSM di Johor yang terlibat dengan kes buli sudah disingkirkan, menurut Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu, dua lagi pelajar yang terlibat digantung sekolah sehingga pengesahan diperoleh daripada pihak polis yang sedang menyiasat sama ada mereka melakukan sentuhan fizikal terhadap mangsa.

Asyraf Wajdi berkata, hukuman itu diputuskan oleh Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) MRSM yang bersidang hari ini.

“Allah sahaja yang tahu perasaan saya apabila enam pelajar diambil oleh ibu bapa masing-masing pagi tadi setelah JDM MRSM bersidang dan memutuskan untuk singkir mereka kerana kes buli.

“Namun, amaran berulang kali diberikan. #YouTouchYouGo,” katanya, menerusi hantaran di Facebook.

Asyraf Wajdi juga berkata, pelajar-pelajar junior yang didakwa membawa barang terlarang turut disiasat.

“Apa juga kesalahan yang dibuat oleh junior tidak sesekali menghalalkan perbuatan buli dengan mengambil tindakan sendiri menghukum pelajar-pelajar terbabit,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih dan menzahirkan penghargaan kepada pihak Bahagian Pendidikan Menengah Mara dan JDM kerana mengambil tindakan segera membuat siasatan dan mengadakan mesyuarat dalam tempoh 24 jam, sebagaimana diarahkannya.

Pada Ahad, polis menahan enam pelajar lelaki berusia 17 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes buli membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah MRSM di Muar, didakwa berlaku pada Mei lepas.

Author: admin