Pemimpin PAS hadir kempen BN di Batu Pahat

Onn Hafiz berkempen
Onn Hafiz Ghazi bersalaman dengan Misran Samian yang hadir pada kempen BN di Rengit, hari ini.

BATU PAHAT: Dua pemimpin PAS Batu Pahat hadir dalam majlis kempen Barisan Nasional (BN) di sini, ketika dua daripada tiga kerusi ditandingi gabungan itu menyaksikan pertembungan dengan Bersatu, rakan PAS dalam Perikatan Nasional (PN).

Dua pemimpin PAS itu ialah Ahli Jawatankuasa PAS Batu Pahat, Misran Samian dan Hazrin Abdul Hamid.

Kehadiran mereka dalam majlis pelancaran jentera BN Batu Pahat di Dewan Kampung Parit Mengkudu, Rengit, disambut Pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi.

“Saya terharu dan terkejut pada masa sama kerana mereka sudi bersama-sama menyokong calon BN.

“Sudah semestinya kita mengalu-alukan kehadiran dan sokongan mereka,” katanya selepas merasmikan majlis itu.

Turut hadir tiga calon BN di Batu Pahat, iaitu Zaidi Japar bagi DUN Rengit, Mohd Yusla Ismail bagi Senggarang dan Boo Chin Liong bagi Penggaram.

Di Rengit, Zaidi berdepan calon PN Syed Mohamad Syed Alwi manakala Yusla pula berdepan Rashid Hasnon, kedua-duanya dari Bersatu.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pada Ahad dilaporkan berkata parti itu mengarahkan ahli dan penyokong mengundi calon Umno-BN di kerusi tidak ditandingi PN pada PRN Johor 11 Julai ini.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz menolak dakwaan bahawa sokongan PAS kepada BN membawa sentimen perkauman seperti didakwa pemimpin DAP.

Beliau berkata DAP sendiri pernah bekerjasama dengan PAS sebelum ini tanpa menjadikannya isu.

“Bila mereka nak sokong BN, tiba-tiba jadi isu perkauman.

Sementara itu, Misran enggan mengulas lanjut mengenai kehadirannya dalam program BN itu.

“Nanti kita ulas hari lain,” katanya ringkas.

Author: admin