
PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Dewan Rakyat sebanyak 465 kematian tahanan direkodkan di depot imigresen dari 2021 hingga 2025,
Beliau berkata jumlah itu daripada 349,856 kemasukan terkumpul ke depot imigresen dalam tempoh sama, menjadikan kadar kematian 0.13%.
Menurutny, 393 kes atau 84.5% membabitkan tahanan lelaki, manakala 60 kes melibatkan tahanan perempuan.
Bagi kanak-kanak, 12 kematian direkodkan, iaitu lapan kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan.
“Jumlah kematian tertinggi direkodkan bagi warganegara Filipina iaitu 222 kes, diikuti Indonesia sebanyak 109 kes dan Myanmar sebanyak 61 kes,” katanya jawapan lisan di Dewan Rakyat.
Selebihnya, 73 kes membabitkan tahanan dari beberapa negara lain, termasuk Bangladesh, India, Thailand, Vietnam, Kemboja, China, Pakistan, Iraq, Iran, Brunei, Palestin, Syria, United Kingdom serta individu tanpa kewarganegaraan.
Beliau menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang meminta jumlah kematian di depot imigresen dari 2015 hingga 2025, termasuk pecahan mengikut depot, kewarganegaraan, jantina dan punca kematian.
Saifuddin berkata punca kematian tahanan antaranya kerana sepsis dan kejutan septik, penyakit sistem pernafasan, penyakit jantung dan kardiovaskular, penyakit pencernaan dan hati, serta penyakit berjangkit seperti HIV/AIDS, leptospirosis dan meningitis.
Sementara itu, beliau berkata Jabatan Imigresen turut menambah baik arahan pentadbiran dan pengurusan depot termasuk saringan awal ketika tahanan masuk ke depot, pemeriksaan berkala dan rekod perubatan lebih teratur.
Pengasingan kes penyakit berjangkit atau kes kecemasan kesihatan mental, serta rujukan terus ke hospital atau pakar.
“Tahanan juga perlu dibekalkan kit kebersihan, pakaian dan selimut, selain dibenarkan beriadah di luar sel sekurang-kurangnya sekali seminggu,” katanya.
