Gelombang haba di Perancis ragut lebih 1,000 nyawa dalam 5 hari

Belgium heatwave EPA 180725
Meteo-France mengekalkan amaran gelombang haba tahap jingga bagi 22 jabatan pada Isnin, termasuk Paris dan kawasan sekitarnya, serta beberapa bahagian di tenggara dan timur Perancis. (Gambar EPA Images)

ISTANBUL: Perancis merekodkan lebih 1,000 kematian sejak 24 Jun lalu apabila gelombang haba luar biasa melanda sebahagian besar negara itu, menurut angka awal dikeluarkan agensi kesihatan awam pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi memetik penyiar tempatan.

Pejabat Kesihatan Awam Perancis memaklumkan data itu yang masih bersifat sementara, menunjukkan peningkatan ketara dalam kadar kematian sepanjang tempoh gelombang haba, dengan majoriti kematian membabitkan individu berusia 65 tahun ke atas.

Agensi itu turut melaporkan peningkatan sebanyak 40% dalam jumlah kematian di rumah.

Menteri Kesihatan Perancis, Stephanie Rist, sebelum ini memberi amaran kesan kesihatan akibat gelombang haba belum berakhir walaupun suhu mula turun di banyak wilayah.

Beliau dipetik penyiar Perancis BFMTV sebagai berkata, negara itu kini mencatatkan “jumlah kematian lebih tinggi daripada kebiasaan”.

Sementara itu, perkhidmatan perubatan kecemasan Paris melaporkan 80 kematian pada Sabtu, termasuk 30 kes jantung terhenti, berbanding 109 kematian pada Jumaat.

Pihak berkuasa memaklumkan angka itu hanya meliputi kes dikendalikan perkhidmatan kecemasan Paris, bukannya jumlah keseluruhan kematian di ibu negara berkenaan.

Sebahagian besar Perancis dilanda cuaca panas melampau sejak 11 hari lalu.

Walaupun suhu mula turun di beberapa wilayah pada Ahad akibat ribut petir, hospital masih berdepan tekanan akibat peningkatan kes penyakit berkaitan haba serta komplikasi perubatan.

Menurut Balai Cerap Keraunos, lebih 127,000 panahan petir direkodkan di seluruh negara pada Sabtu malam, dengan aktiviti elektrik sangat tinggi tertumpu di Paris hingga wilayah Hauts-de-France.

Walaupun keadaan cuaca semakin sejuk, Meteo-France masih mengekalkan amaran gelombang haba tahap jingga bagi 22 jabatan pada Isnin, termasuk Paris dan kawasan sekitarnya, serta beberapa bahagian di tenggara dan timur Perancis.

Pihak berkuasa kesihatan menggesa warga emas serta individu tinggal bersendirian terus mengambil langkah berjaga-jaga, sambil memberi amaran kesan sebenar gelombang haba terhadap manusia belum dapat dipastikan sepenuhnya.

Author: admin