
PETALING JAYA: Mukmin Malaysia, sebuah badan payung komuniti India Muslim, menyeru pendekatan yang lebih selaras dan kolaboratif ke arah pembinaan negara dan kemajuan bersama.
Presidennya, Shahul Dawood, berkata sudah tiba masanya komuniti itu melangkaui ‘usaha yang berpecah’, sambil menegaskan mereka menjadi paling kuat apabila bekerjasama.
“Tiada satu organisasi pun mampu menangani setiap cabaran yang dihadapi komuniti kita.
“Namun, bersama-sama kita boleh mencipta peluang, menggerakkan sumber dan membina masa depan yang lebih kukuh untuk semua,” katanya pada mesyuarat sulung jawatankuasa eksekutif Mukmin semalam.
Shahul berkata Mukmin, yang akan dilancarkan secara rasmi pada Ogos, akan berfungsi sebagai platform nasional yang menyatukan organisasi, institusi, golongan profesional dan pemimpin masyarakat untuk memajukan pembangunan komuniti melalui tindakan kolektif, kerjasama strategik dan inisiatif berimpak mampan.
Sebagai permulaan, beliau mengumumkan Mukmin telah memperoleh komitmen biasiswa melebihi RM7 juta melalui kerjasama strategik dengan enam institusi pendidikan.
Enam institusi itu ialah UNITAR International University, University of Cyberjaya, MAHSA University, BAC Education Group, Binary College dan SG Academy.
Katanya, lebih 350 peluang biasiswa ditawarkan melalui laluan pendidikan tinggi serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Mukmin turut mengumumkan ‘Program Adopt A Graduate’, iaitu inisiatif yang menggerakkan organisasi, perniagaan, golongan profesional dan pemimpin industri untuk mengambil serta menyokong pelajar dan graduan melalui penajaan yuran pengajian, peluang pekerjaan, bimbingan mentor dan pendedahan industri.
Shahul berkata program itu bertujuan menghapuskan halangan kewangan terhadap pendidikan, memudahkan peralihan ke alam pekerjaan dan mewujudkan ekosistem sokongan yang mampan bagi bakat masa depan.
Beliau berkata aspirasi jangka panjang Mukmin adalah untuk menjadi platform kerjasama yang dipercayai antara organisasi komuniti, institusi dan golongan profesional, di samping menjadi suara yang konstruktif dalam isu yang melibatkan komuniti Muslim India.
“Masa depan komuniti kita bergantung pada kesediaan kita untuk bekerjasama,” katanya.
