Majlis Rohingya nafi dakwaan komuniti tuntut hak kewarganegaraan Malaysia

Rohingya
Majlis Ulama Rohingya mohon maaf atas kekurangan segelintir komuniti Rohingya yang menyinggung perasaan rakyat Malaysia. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Majlis Ulama Rohingya menafikan dakwaan komuniti tersebut menuntut sebarang hak kewarganegaraan atau mana-mana kawasan di negara ini.

Pengerusi Rahimullah Hussain berkata tuduhan-tuduhan itu dibuat oleh pihak yang ingin mewujudkan kebencian terhadap komuniti Rohingya, dan menjejaskan kehidupan mereka.

“Kami sedang memperjuangkan hak kewarganegaan daripada kerajaan Myanmar yang menjadi tanah tumpah darah kami,” menurut kenyataan.

Rahimullah mendakwa pihak tidak bertanggungjawab telah mengubah suai kenyataan asal untuk menggambarkan komuniti Rohingya menuntut hak kewarganegaraan Malaysia.

Beliau juga menafikan dakwaan bahawa komuniti Rohingya menguasai atau mendominasi Pasar Borong Selayang, menyifatkan ia sebagai tidak berasas.

Pada masa sama, beliau mengakui kekurangan segelintir komuniti Rohingya yang menyinggung perasaan rakyat Malaysia, dan memohon maaf.

“Sekiranya terdapat mana-mana individu yang melakukan kesalahan di sisi undang-undang, maka individu tersebut hendaklah dipertanggungjawabkan secara peribadi mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Rahimullah juga meminta kesalahan segelintir individu itu tidak dikaitkan dengan masyarakat Rohingya secara keseluruhan.

Kenyataan majlis ini berlatarkan gelombang sentimen anti-Rohingya.

Awal bulan ini, satu petisyen dalam talian dilancarkan, mendesak pengusiran etnik Rohingya atas alasan bilangan mereka yang semakin meningkat memberi tekanan kepada prasarana dan perkhidmatan sosial.

Kumpulan hak asasi manusia, Pusat Komas, mengecam petisyen tersebut, yang menurut mereka mencetuskan lonjakan permusuhan terhadap etnik Rohingya.

Pusat Komas juga menyatakan petisyen tersebut dipenuhi maklumat salah yang boleh membawa kepada diskriminasi terhadap komuniti Rohingya.

Author: admin