RTM mohon maaf gangguan teknikal siaran Piala Dunia di RTMKlik

Orang ramai
Sebagai penyiar rasmi Piala Dunia 2026, RTM sentiasa komited pastikan pengalaman tontonan yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia.

PETALING JAYA: Radio Televisyen Malaysia (RTM) memohon maaf atas gangguan teknikal yang berlaku pada platform RTMKlik ketika siaran langsung separuh masa pertama perlawanan Piala Dunia 2026 antara Perancis dan Senegal awal pagi tadi.

Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail berkata, gangguan ketika perlawanan pada 3 pagi tadi berpunca daripada masalah teknikal luar jangka, yang menyebabkan segelintir pengguna sukar mengakses siaran secara lancar melalui RTMKlik.

Bagaimanapun, beliau berkata, pasukan teknikal RTM bersama pihak penyedia teknologi telah mengambil tindakan bagi memulihkan perkhidmatan dengan kadar segera.

“RTM amat memahami kekecewaan para peminat sukan bola sepak yang menantikan perlawanan tersebut,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

“Pihak kami amat menghargai kesabaran, sokongan dan maklum balas yang diberikan sepanjang tempoh gangguan berlaku.”

Ashwad berkata, sebagai penyiar rasmi kejohanan paling berprestij dunia itu, RTM sentiasa komited untuk memastikan pengalaman tontonan yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia.

Ini termasuk melaksanakan langkah pengukuhan infrastruktur dan sistem penyiaran digital setiap masa bagi mengurangkan risiko gangguan teknikal daripada berulang, tambahnya.

“RTM sekali lagi memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan akan terus berusaha memastikan kelancaran siaran kesemua 104 perlawanan (94 siaran langsung, 10 siaran tertunda) Piala Dunia 2026 dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia dengan lebih lancar dan berkualiti,” katanya.

Author: admin