
PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menafikan tanah Orang Asli yang diwartakan telah dirampas seperti didakwa pihak tertentu.
Dalam kenyataan, Jakoa berkata dakwaan berkenaan tidak tepat dan sehingga kini tiada tanah Orang Asli yang diwartakan dirampas oleh mana-mana pihak.
“Untuk makluman, sehingga kini tiada mana-mana tanah Orang Asli yang diwartakan dirampas seperti yang didakwa,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Pada masa sama, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Jakoa turut menghargai pandangan serta cadangan dikemukakan menerusi memorandum yang diserahkan oleh pihak berkaitan.
Katanya, setiap perkara dibangkitkan akan diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang tindakan sewajarnya diambil.
“KKDW melalui Jakoa sentiasa komited dalam memperjuangkan kesejahteraan masyarakat Orang Asli dengan memahami serta menangani isu, keperluan dan aspirasi komuniti tersebut, sekali gus memastikan suara, kepentingan dan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian,” katanya.
Semalam, KKDW menerima memorandum dikemukakan Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka), Greenpeace Malaysia serta gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Orang Asli Malaysia berhubung isu berkaitan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).
