
PETALING JAYA: Dua pengarah sebuah syarikat usaha sama India dimiliki dua syarikat pembinaan besar di Singapura, kekal dilarang melakukan sebarang urus niaga tanpa kelulusan Lembaga Pengarah selepas mahkamah di India enggan menarik balik perintah sekatan itu pada Rabu.
Pengerusi Woh Hup (Private) Limited, Kim Yong, dan adiknya, Eugene, yang merupakan pengarah, sedang berusaha mengetepikan perintah interim terhadap mereka bulan lalu dalam saman difailkan rakan kongsi usaha sama, Lee Kim Tah (Pte) Ltd, di Bengaluru.
Saman dikemukakan mendakwa dua beradik itu melanggar tanggungjawab fidusiari terhadap L&W Construction Private Limited, iaitu syarikat kenderaan usaha sama berkenaan kerana gagal mengambil tindakan terhadap seorang eksekutif kanan yang dituduh melakukan salah laku serius, termasuk rasuah.
L&W terlibat dalam projek besar di India yang mempunyai kaitan dengan pemaju disokong Temasek, iaitu CapitaLand dan Mapletree.
Dalam permohonan difailkan minggu lalu, Yong bersaudara berhujah Mahkamah Komersial Bengaluru tidak mempunyai bidang kuasa mendengar kes tersebut.
Mereka memohon satu perintah untuk ‘kenyataan tuntutan’ kepada Lee Kim Tah supaya ia boleh difailkan di mahkamah yang sepatutnya ‘atas dasar keadilan dan ekuiti’.
Mereka menyatakan, tuntutan saman itu tidak termasuk dalam takrifan ‘pertikaian komersial’ dan gagal memenuhi ambang kewangan ditetapkan undang-undang India untuk adjudikasi oleh Mahkamah Komersial.
Saman Lee Kim Tah mendakwa, CapitaLand pada 2023 telah memaklumkan kepada Lembaga Pengarah L&W bahawa pekerja syarikat usaha sama itu telah membayar rasuah kepada kakitangan CapitaLand berkaitan sebuah projek di Pune.
Satu audit tadbir urus bebas kemudiannya ditugaskan, yang dilaporkan mendedahkan kepincangan ketara melibatkan eksekutif kanan berkenaan.
Saman itu selanjutnya menyatakan, satu firma guaman Singapura juga pada 2023 telah mengesyorkan L&W memulakan tindakan undang-undang terhadap eksekutif tersebut dan sekutu yang didakwa bersubahat.
Firma itu mencadangkan tindakan diambil bagi menuntut semula kira-kira 33 crore rupee India (kira-kira USD3.5 juta), bersama pembayaran tidak wajar yang lain, kerugian, serta pemulangan semula keuntungan diperoleh secara tidak sah.
Lee Kim Tah mendakwa, Yong bersaudara telah melanggar tanggungjawab fidusiari mereka terhadap L&W kerana gagal mengambil tindakan segera walaupun penemuan tersebut serius.
Dalam maklum balas, dua beradik itu berhujah tuntutan berkenaan berada di luar bidang kuasa Mahkamah Komersial berkenan.
Mereka turut mendakwa, pemfailan oleh Lee Kim Tah mengandungi ‘salah nyata’ dan ‘penyembunyian fakta’, selain sengaja mewujudkan ‘gambaran terdesak yang palsu’ demi mendapatkan remedi interim.
Permohonan tersebut dijadual didengar Hakim Arjun S Mallur, pada 15 Jun.
Satu laporan jenayah difailkan terhadap eksekutif kanan tersebut, menuduhnya menyalahgunakan kuasa untuk menyalurkan dana syarikat kepada pihak tidak dibenarkan melalui invois didakwa palsu atau bertindih. Satu laporan maklumat pertama telah didaftarkan minggu lalu dengan siasatan berhubung aduan itu kini sedang berjalan.
Sementara itu, seorang lagi bekas eksekutif L&W — yang sebelum ini dituduh menerima rasuah dan direman mahkamah hampir dua tahun sementara menunggu perbicaraan — telah pun dibebaskan daripada pertuduhan.
Dia mendakwa dirinya dipecat dan diperangkap selepas bertindak sebagai pemberi maklumat untuk mendedahkan salah laku eksekutif kanan terbabit, yang kemudiannya menjurus prosiding jenayah.
Dia selanjutnya mendakwa, tindakan yang didakwa terhadapnya itu dibuat sepenuhnya di bawah arahan eksekutif kanan berkenaan.
