
PETALING JAYA: Keluarga seorang tahanan reman berusia 28 tahun bimbang dia mungkin tidak dapat bertahan selepas terpaksa menunggu berbulan lamanya untuk laporan kimia melibatkan kes dadah.
Rafeya, 30, berkata adiknya, Faizal Abdullah, kini terlantar dalam tahanan, selain tidak mampu berjalan, duduk, makan atau menggunakan tandas tanpa bantuan susulan kesihatannya semakin merosot.
“Jika ia ambil masa tiga atau empat bulan lagi, saya bimbang saya mungkin tidak dapat melihat adik saya lagi. Keadaannya makin teruk,” katanya kepada FMT.
Faizal dituduh di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Bangi pada 6 Feb atas tiga kesalahan berkaitan dadah melibatkan ganja dan methamphetamine.
Kertas pertuduhan dilihat FMT mendakwanya memiliki 152.3g ganja dekat sebuah rumah di Kampung Sireh, Semenyih, sekitar 9 malam, pada 30 Jan.
Dia juga berdepan pertuduhan bersama kerana memiliki kawalan ke atas 25.1g ganja di sebuah rumah berhampiran dan satu pertuduhan berasingan memiliki 9.7g methamphetamine.
Rafeya berkata, Faizal direman tujuh hari sebelum dituduh. Seorang lagi suspek yang ditangkap bersamanya dibenarkan ikat jamin, namun Faizal kekal dalam tahanan sementara menunggu laporan kimia.
Dia berkata, adiknya kelihatan sihat sepanjang bulan pertama di penjara, namun kemudiannya memberitahu keluarga bahawa dia terjatuh beberapa kali.
“Pada mulanya dia masih boleh berjalan perlahan-lahan, tetapi pada minggu berikutnya dia datang menemui kami berkerusi roda,” katanya.
Keluarga berkenaan sudah memaklumkan perkara itu kepada peguamnya, disusuli penulisan surat kepada pihak berkuasa penjara.
Faizal selepas itu dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban, di mana ditempatkan lebih sebulan.
Bagaimanapun, Rafeya berkata keadaan adiknya terus merosot.
“Mulanya pada kaki, selepas itu ke tangannya. Sekarang dia tidak boleh bergerak dengan betul, pegang apa-apa barang atau suap makan sendiri,” katanya.
Dia menganggarkan adiknya sudah kehilangan berat badan sekitar 50kg sepanjang berada dalam tahanan, menyusut daripada kira-kira 120kg kepada 70kg.
Doktor telah menjalankan beberapa ujian, termasuk imbasan otak dan imbasan tomografi berkomputer (CT scan), serta pemeriksaan cecair tulang belakang, namun pihak keluarga menyatakan mereka masih belum menerima diagnosis yang jelas.
Rafeya berkata, doktor memaklumkan bahawa Faizal mengalami keretakan di vertebra T7 dan T8. Walaupun ada doktor mencadangkan pembedahan mungkin diperlukan, seorang lagi doktor pula menyatakan kecederaan tersebut boleh sembuh sendirinya.
Pihak keluarga terkejut apabila Faizal dibenarkan keluar dari hospital dan dihantar pulang ke penjara pada Khamis lalu, walaupun dia masih belum mampu menguruskan diri.
“Dia tidak boleh duduk atau berdiri dan terlantar. Dia sedang menderita,” kata Rafeya.
Katanya, kes adiknya telah menimbulkan persoalan mengenai layanan terhadap banduan reman yang terlalu sakit, dan sama ada alternatif lain seperti ikat jamin atau tahanan di hospital boleh dipertimbangkan.
FMT sedang mendapatkan ulasan daripada Hospital Tuanku Ja’afar, Jabatan Penjara, Kementerian Kesihatan, dan pihak mahkamah.
Peguam S Vinesh berkata, beliau sedang mendapatkan perkembangan terkini daripada pihak penjara, hospital, dan Jabatan Kimia susulan anak guamnya dilepaskan dari hospital.
Beliau berkata, laporan kimia diperlukan untuk mengesahkan jenis dan berat dadah didakwa dirampas, namun beliau telah dimaklumkan bahawa proses itu mungkin mengambil masa empat bulan lagi.
“Tanpa laporan itu, anak guam saya akan terus berada dalam keadaan tergantung dalam keadaan sangat sakit,” katanya.
