
PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan gabungan itu bukan milik mutlak mana-mana parti justeru sebarang tafsiran mengenai status, kedudukan dan hala tujunya tidak boleh dibuat secara sepihak.
Katanya, PN adalah gabungan politik berperlembagaan yang ditubuhkan atas dasar muafakat antara parti pengasasnya.
Samsuri yang juga naib presiden PAS berkata, parti diterajuinya itu antara pengasas utama dan beliau sendiri terlibat secara langsung dalam pendaftaran gabungan berkenaan.
“PAS juga adalah antara parti pengasas PN dan saya sendiri merupakan salah seorang penandatangan rasmi penubuhan PN.
“Justeru, sebarang tafsiran mengenai status, kedudukan dan hala tuju PN tidak boleh dibuat secara sepihak,” katanya yang lebih dikenali Dr Sam dalam kenyataan.
Semalam, bekas pegawai Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mendedahkan ia sudah bersetuju dengan syarat dikemukakan PAS sebelum parti itu memutuskan menamatkan kerjasama politik.
Marzuki Mohamad berkata, tiga syarat diletakkan PAS — termasuk membersihkan persepsi negatif Bersatu terhadap PAS, menerima kemasukan parti lain ke dalam PN, serta berdamai dengan kumpulan Hamzah Zainudin — tidak terlalu sukar untuk dipenuhi Bersatu.
Bagaimanapun, beliau mendedahkan Jawatankuasa PAS Pusat tetap memutuskan hubungan dengan Bersatu.
Mengulas lanjut, Samsuri berkata sebarang perkara berbangkit mengenai masa depan gabungan itu perlu merujuk kepada saluran rasmi.
“Ia hendaklah dirujuk kepada perlembagaan PN dan diputuskan melalui saluran rasmi gabungan.
“Keutamaan saya ialah memastikan PN terus diurus secara tertib, berprinsip dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Isnin lalu, Presiden PAS Hadi Awang mengumumkan parti itu menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu, namun kekal sebagai komponen PN bersama Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia.
