Bekas pegawai Muhyddin dedah Bersatu sedia penuhi syarat PAS

Marzuki Mohamad
Marzuki Mohamad berkata tiga syarat ditetapkan PAS bagi memulihkan hubungan antara dua parti itu tidak terlalu sukar untuk dipenuhi Bersatu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bersatu sudah bersetuju dengan syarat dikemukakan PAS sebelum parti itu memutuskan menamatkan kerjasama politik, kata bekas pegawai Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Marzuki Mohamad berkata beliau mengatur pertemuan antara Muhyiddin dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Annuar Musa, Khamis minggu lalu bagi membincangkan isu yang mencetuskan keretakan hubungan dalam kalangan sekutu Perikatan Nasional.

Menurutnya, Annuar menyatakan antara langkah untuk menyelesaikan konflik itu ialah membenarkan parti Melayu-Islam lain menyertai PN serta berdamai dengan kumpulan bekas pemimpin Bersatu diketuai Hamzah Zainudin.

Hamzah, bekas timbalan presiden Bersatu, dipecat parti itu pada Februari ketika kemuncak perebutan kepimpinan dengan Muhyiddin.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Marzuki berkata Bersatu tiada halangan untuk menerima kemasukan parti baharu ke dalam PN.

Beliau berkata, Muhyiddin sendiri menjadi individu pertama yang menghimpunkan parti-parti berkenaan melalui gabungan longgar Ikatan Prihatin Rakyat.

“Perkara lain dibangkitkan ialah keperluan Bersatu berdamai dengan kumpulan ‘Reset’. Saya memberitahu Annuar bahawa luka masih baharu, tetapi masa akan menyembuhkannya. Berilah kami sedikit masa.

“Namun, jika perkara ini menjadi kunci untuk menyelesaikan konflik, Bersatu bersedia membincangkannya demi memelihara kepentingan PN,” katanya.

Marzuki berkata, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan kemudian menghantar surat pada 6 Jun yang menetapkan tiga syarat bagi memulihkan hubungan itu, iaitu membersihkan persepsi negatif Bersatu terhadap PAS, menerima kemasukan parti lain ke dalam PN, serta berdamai dengan kumpulan Hamzah.

Katanya, beliau berasa lega apabila menerima surat Takiyuddin kerana kandungannya tidak jauh berbeza dengan perkara yang disampaikan Annuar, selain syarat berkenaan boleh diterima.

Bagaimanapun, beliau berkata beliau dan Muhyiddin mahu perkara itu dibawa terlebih dahulu ke mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk dibincangkan, selaras dengan prosedur parti.

“Keesokan harinya, Muhyiddin membalas surat Takiyuddin dengan menyatakan kesediaan Bersatu untuk mempertimbangkan syarat PAS apabila Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bermesyuarat.

“Saya diminta Takiyuddin menyerahkan surat itu kepada seorang rakan daripada PAS, yang akan menyampaikannya kepada Takiyuddin. Dalam pertemuan ringkas itu, saya memberi bayangan ketiga-tiga syarat berkenaan tidak terlalu sukar untuk dipenuhi Bersatu.

“Namun, keesokan harinya, Jawatankuasa PAS Pusat memutuskan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu,” katanya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang Isnin lalu mengumumkan parti itu menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu, yang sebelum ini didakwanya menjadi punca hubungan antara kedua-dua parti tegang.

Hadi berkata PAS sebaliknya akan meneroka pembentukan pakatan politik baharu bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang dan PRU akan datang, dengan matlamat ‘penyatuan ummah’.

Bagaimanapun, PAS kekal sebagai komponen PN bersama Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia.

Author: admin