Remaja pandu melulu dalam nahas 4 maut bebas dengan jaminan polis

handcuff
Remaja terbabit ditahan semula pada Khamis lalu dan direman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan kes bunuh. (Gambar Rawpixel)

PETALING JAYA: Remaja yang memandu kereta secara melulu dan berbahaya hingga mengorbankan empat sekeluarga dalam nahas di Simpang Renggam, Kluang dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu pendakwaan di mahkamah.

Tempoh sambung reman terhadap suspek berusia 19 tahun yang dilanjutkan dua hari pada Isnin lalu berakhir semalam, menurut Harian Metro.

Ketua Polis Kluang, Bahrin Mohd Noh, berkata pihaknya menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk memberi jaminan terhadap suspek sehingga siasatan lengkap dijalankan.

Suspek direman sejak 2 Jun lalu sebelum reman disambung mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebaik tempoh itu berakhir, dia ditahan semula pada Khamis lalu dan direman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan kes bunuh.

Remaja itu memandu kereta Mercedes Benz A250 secara melulu dan berbahaya bersama sebuah BMW 530e dipandu abangnya berusia 22 tahun yang turut maut ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kemalangan berkenaan.

Kejadian di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam itu berlaku apabila BMW 530e terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu melanggar Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah lagi Mercedes-Benz.

Empat sekeluarga maut yang menaiki Toyota Vios ialah Aiman Rashid, 36, Nur Airish Syifa Sidek, 10, Nor Azlina Abd Latif, 33, dan Semek Mat Soh, 73.

Author: admin