
PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Warisan Mohd Taib Isai mengumumkan keluar parti itu dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).
Bekas naib ketua Warisan Kota Belud itu berkata keputusan berkenaan dibuat selepas mereka hilang kepercayaan terhadap pucuk kepimpinan tertinggi parti dan mendakwa parti terbabit semakin jauh daripada aspirasi rakyat Sabah.
Menurutnya, kepimpinan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berjaya mewujudkan kestabilan politik serta menyatukan pelbagai pemimpin dan parti tempatan di bawah agenda pembangunan Sabah.
“Pendekatan inklusif dan sederhana dibawa Hajiji memberi keyakinan bahawa masa depan Sabah lebih terjamin di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Atas keyakinan itu, kami mengambil keputusan untuk menyertai PGRS dan memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Hajiji dalam meneruskan agenda pembangunan negeri,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mendakwa gelombang sokongan terhadap PGRS dan GRS akan terus meningkat, dengan lebih ramai pemimpin serta ahli Warisan di pelbagai peringkat dijangka mengambil langkah sama dalam masa terdekat.
Antara pemimpin Warisan yang turut meninggalkan parti ialah dua exco Wanita Pusat Warisan Maini Tapah dan Masilah Lidah.
