
PETALING JAYA: Gerakan menegaskan komitmen memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN), di sebalik terputusnya kerjasama antara PAS dan Bersatu.
Presiden Dominic Lau berkata Gerakan menghormati peranan dan sumbangan PAS dan Bersatu dalam PN.
“Gerakan akan menunggu penjelasan rasmi lanjut daripada pihak-pihak berkaitan sebelum membuat sebarang ulasan berhubung perkara ini,” menurut kenyataan.
Lau, yang juga timbalan pengerusi PN, mengingatkan semua pihak berkenaan bahawa sekarang masa untuk memberikan tumpuan kepada ‘tanggungjawab yang lebih besar’, ketika PRN Johor dan Negeri Sembilan serta PRU semakin hampir.
“Kesepakatan dalam kalangan parti komponen amat penting bagi menjadikan pasukan kita sebagai pilihan rakyat,” katanya.
Lau berkata Gerakan akan terus memainkan peranan dalam memperkukuhkan PN sebagai “gabungan politik yang inklusif dan boleh diterima oleh rakyat daripada pelbagai kaum dan agama”.
PAS mengumumkan ia menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu, semalam, beberapa minggu selepas Presiden Hadi Awang memberi amaran bahawa kesabaran ‘ada batas’.
PAS juga mengumumkan ia akan meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya akan datang, dan menerima hasrat pemimpin politik untuk menyertai PAS.
Di sebalik ketetapan ini, PAS tidak menyentuh kedudukannya dalam PN, setakat ini.
Hari ini, Bersatu menyatakan dukacita akan keputusan PAS itu, namun akan terus kekal dalam PN.
