Umno dah jangka hubungan PAS-Bersatu akan terlerai, kata Zahid

ZAHID HAMIDI
Presiden Umno Zahid Hamidi berkata perkara itu harus menjadi pengajaran bahawa bahawa setiap kolaborasi politik perlu diasaskan kepada kepercayaan dan komitmen yang tulen.

PETALING JAYA: Presiden Umno Zahid Hamidi berkata partinya sudah dapat menjangkakan bahawa kerjasama yang terjalin antara PAS dan Bersatu akhir akan terlerai.

Katanya, hubungan kerjasama antara PAS dan Bersatu itu tidak dibina atas asas keikhlasan tetapi hanya bergantung pada perjanjian, lapor Berita Harian.

“Kami sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku. Ini adalah satu telahan dari sudut pandang politik di mana sebarang kolaborasi mesti dilingkungi dengan penuh keikhlasan dan tidak ada unsur-unsur pengkhianatan di dalamnya,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Katanya, perkara itu harus menjadi pengajaran bahawa bahawa setiap kolaborasi politik perlu diasaskan kepada kepercayaan dan komitmen yang tulen, selain bebas daripada unsur pengkhianatan.

“Dan ini ini adalah satu ibrah atau pengajaran bahawa sebarang kolaborasi mesti tidak hanya dipegang dan bersandarkan kepada sudut pandang politik tetapi harus dilihat dari segi pembangunan dan kesatuan sebuah negara bangsa,” katanya.

Malam tadi, Presiden PAS Hadi Awang mengumumkan partinya yang juga komponen PN memutuskan kerjasama dengan Bersatu selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Ketetapan tersebut diumumkan selepas ia memperakukan keputusan mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun, berhubung pertimbangan dasar, hukum, dan maslahah kerjasama politik PAS.

Parti itu menilai kerjasama dengan Bersatu setelah mengkaji satu persatu tindakan parti tersebut, mengambil contoh situasi politik di Negeri Sembilan dan Perlis, serta pendirian berkenaan usaha membawa masuk parti tertentu ke dalam PN.

Author: admin