
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 12 Jun ini bagi membincangkan urusan PRN Negeri Sembilan ke-16.
Setiausaha SPR Khairul Shahril Idrus berkata, mesyuarat yang bersekali dengan Mesyuarat Khas PRN Johor ke-16 itu diadakan susulan pembubaran DUN Negeri Sembilan pada Jumaat lepas.
Menurutnya, mesyuarat dipengerusikan Pengerusi SPR Ramlan Harun itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Negeri Sembilan.
“Antaranya tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas itu, katanya.
DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan secara rasmi Jumaat lepas bagi memberi laluan kepada PRN.
