
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan semua agensi penguat kuasa serta kementerian terlibat mengambil tindakan tegas bagi membanteras aktiviti perniagaan haram dijalankan warga asing yang menyalahgunakan visa pelancong.
Anwar berkata tindakan segera perlu diambil susulan peningkatan kes warga asing termasuk dari China yang menjalankan perniagaan menggunakan visa pelawat atau pelajar serta menyalahgunakan permit dan lesen perniagaan milik rakyat tempatan.
Katanya, kegiatan itu juga turut menjejaskan peluang ekonomi dan pekerjaan rakyat tempatan.
“Jadi kena tetapkan umpamanya kalau peniaga, ia mesti ada pendaftaran perniagaan beralamat tetap. Kalau kita dapati permit (warga tempatan) disalah guna, kita kena rampas permit itu.
“Dulu kita hadapi masalah daripada warga Pakistan, India, Bangladesh, Aceh dan sebagainya melibatkan kedai runcit dan pasar borong. Ia menghalang, kadangkala pekerjaan anak-anak tempatan.
“Sekarang warga China datang dengan visa pelancong tetapi buka kedai, syarikat kecil. Ini menimbulkan keresahan.” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi.
Hadir sama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Timbalannya Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata beberapa kementerian dan agensi telah dimaklumkan mengenai perkara itu termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pihak berkuasa tempatan (PBT), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Menurutnya, kerajaan juga mahu kerjasama lebih erat diwujudkan dengan persatuan peniaga, dewan perniagaan dan persatuan penjaja bagi membantu mengesan kegiatan yang melanggar undang-undang.
“Kita tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan yang menjejaskan peluang ekonomi rakyat tempatan dan kedaulatan negara,” katanya.
