Rundingan persefahaman PAS-Umno belum ada keputusan, kata Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu tetap akan bertanding dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan pada kali ini.

PETALING JAYA: Rundingan antara PAS dan Umno yang sedang digerakkan oleh sebuah jawatankuasa dalaman membabitkan pemimpin kedua-dua parti masih belum menghasilkan sebarang keputusan bersama, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau turut menolak dakwaan parti itu ditawarkan kerusi dan lantikan ke jawatan tertentu oleh Umno, sebagai antara persefahaman dicapai khususnya menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan serta Melaka.

Menurutnya, PAS tetap akan bertanding dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan pada kali ini.

“Kita sudah lancar jentera PRN dan kini kita beri fokus bagi memenangi kerusi yang dipertandingkan,” katanya, menurut Berita Harian.

Beliau diminta mengulas sama ada Umno menawarkan sejumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen kepada PAS di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, sebagai persefahaman bagi mengelak kedua-dua parti bertembung dalam PRN serta PRU16.

Presiden Umno Zahid Hamidi sebelum ini mengesahkan pertemuan antara pemimpin PAS dan Umno yang berlangsung beberapa hari lalu, hanya membincangkan soal kolaborasi yang boleh dilakukan bagi memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.

Beliau berkata ia tidak membabitkan presiden parti dan hal berkaitan cadangan menghidupkan Muafakat Nasional 2.0 juga tidak dibincangkan.

Author: admin