
PETALING JAYA: Seorang pengulas politik menuduh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Onn Hafiz Ghazi mempamerkan sikap perkauman selepas beliau mengisytiharkan lebih rela tidak menjadi menteri besar daripada bekerjasama dengan DAP.
Tajuddin Rasdi berkata, Onn Hafiz sepatutnya mencontohi sikap perdana menteri pertama negara, Tunku Abdul Rahman, yang sanggup duduk bersemuka dengan pemimpin komunis Malaya, Chin Peng, untuk Rundingan Damai Baling pada 1955.
Beliau berkata, Onn Hafiz perlu diingatkan bahawa pendiriannya itu bercanggah dengan prinsip Islam yang memelihara martabat semua manusia.
“Sebagai seorang ahli politik, bagaimana beliau boleh mentadbir sebuah negeri sedangkan berpuluh ribu orang Melayu, Cina, India dan pelbagai etnik lain (di Johor) menyokong DAP?” soal Tajuddin menerusi hantaran di media sosial.
Terdahulu hari ini, Onn Hafiz berkata, sekiranya rakyat memberikan mandat kepada BN untuk memimpin Johor sekali lagi, ‘kita tidak akan sesekali bersama DAP dalam kerajaan negeri’.
“Saya lebih rela tidak memegang jawatan menteri besar daripada perlu duduk semeja dengan mereka,” katanya.
Kenyataannya itu mengundang respons Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook yang menggelar Onn Hafiz sebagai angkuh kerana ‘tak nak duduk semeja dengan DAP’, sedangkan setiap minggu, pengerusi BN sendiri, Zahid Hamidi yang juga timbalan perdana menteri menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri bersama pemimpin DAP.
