Saifuddin seru rakyat dokong gerakan Reset Hamzah

hamzah zainudin
Hamzah Zainudin melancarkan gerakan Reset pada 14 Feb sehari selepas dipecat Bersatu, susulan krisis kepimpinan dalam parti itu.

PETALING JAYA: Saifuddin Abdullah menyeru rakyat mendokong gagasan Konsensus Nasional Baru dan gerakan Reset diketuai Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin, bagi membentuk hala tuju politik negara yang lebih kuat, inklusif dan stabil.

Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, beliau menyokong Hamzah kerana berkongsi prinsip yang sama termasuk politik bersih dan segar, serta bersifat kepelbagaian kaum dan menolak politik fitnah dan korupsi.

saifuddin abdullah
Saifuddin Abdullah.

“Saya lihat Hamzah punya idea yg serasi dengan saya.

“Baginya, politik bukannya political survivalism, tetapi adalah perjuangan membina negara dgn berlandaskan prinsip amar makruf nahi mungkar (menegak kebaikan, mencegah kemungkaran),” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Hamzah juga menggariskan gagasan Konsensus Nasional Baru ke arah Malaysia yang lebih baik, iaitu Malaysia yang maju, makmur dan bahagia.

“Untuk merealisasikannya, ia perlu kepada sebuah parti politik. Hamzah akan umum parti itu tidak lama lagi.

“Parti itu akan mencerminkan wajah Malaysia seperti yg terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, Rukun Negara, sejarah dan kebudayaan kita.

“Parti ini akan menjadi anggota sebuah gabungan parti-parti politik supaya lebih kuat,” katanya.

Menurutnya lagi, Hamzah memainkan peranan menjadi jambatan antara mana-mana parti politik yang sesuai bagi membentuk satu kesefahaman dan kerjasama lebih komprehensif bagi compliment gabungan parti-parti yang dianggotai parti reset.

“Hamzah punya pengalaman dan berpotensi memainkan peranan amat signifikan dalam membentuk hala tuju politik Malaysia yg lebih kuat, inklusif dan stabil.

“Justeru saya menyeru rakyat untuk sama-sama mendokong gagasan Konsensus Nasional Baru dan gerakan Reset ini,” katanya.

Pada 14 Feb lalu, Hamzah melancarkan gerakan Reset sehari selepas dipecat Bersatu, dengan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada gagasan Konsensus Nasional Baharu bagi menyusun semula landskap politik dan pentadbiran negara.

Difahamkan, bekas ketua pembangkang itu akan mengumumkan parti baharunya menjelang persidangan Dewan Rakyat pada 22 Jun ini.

Terdapat laporan mengaitkan Hamzah dengan Parti Keluarga Malaysia dan Parti Cinta Malaysia (PCM), walaupun beliau menafikan akan mengambil alih PCM.

Author: admin