
PETALING JAYA: Umno akan berdepan kerugian lebih besar berbanding mendapat laba jika bersetuju menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) pada PRN Johor, sambil penganalisis menyifatkan langkah itu menguntungkan PAS.
Hisomuddin Bakar daripada Ilham Centre, berkata cabaran utama dijangka timbul di meja rundingan, yang mana PAS akan cuba menuntut bertanding di kerusi dianggap berpotensi menang tanpa mengambil kira rekod prestasinya di negeri berkenaan.

“Umno perlu mempertimbangkan untuk memberikan sejumlah kerusi kepada PAS sebagai sebahagian daripada formula kerjasama politik. Dalam konteks semasa, Barisan Nasional (BN) menyandang 40 daripada 56 DUN Johor.
“Sekiranya kerjasama Umno-PAS direalisasikan, ini bermakna sebahagian kerusi selama ini menjadi medan Umno atau parti komponen BN terpaksa dikorbankan bagi memenuhi tuntutan rakan politik tersebut. Hakikatnya, prestasi PAS di Johor tidak menunjukkan kekuatan yang signifikan,” katanya kepada FMT.
Penganalisis dari Universiti Malaya, Tawfik Yaakub, berkata Umno akan membazirkan momentum politik yang berharga jika mahu bertolak ansur dengan PAS di negeri yang kini kembali menjadi kubu kuatnya.
Beliau berkata, Umno boleh bersaing merebut kelompok pengundi Melayu-Islam yang sama dengan meletakkan calon yang mempunyai kredibiliti Islam yang kuat, dan bukannya bergantung kepada PAS.

“Malah apabila menang dan berkuasa di Johor Umno-BN dapat laksanakan lebih pendekatan meningkatkan syiar Islam berbanding tawaran yang tidak pasti boleh dilaksanakan seperti dikemukakan PAS,” katanya.
Dua penganalisis berkenaan mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa PRN Johor menjadi peluang menghidupkan semula MN dan membina semula kekuatan politik Melayu-Islam.
Namun, Presiden Umno Zahid Hamidi pada Jumaat, berkata pertemuan antara pemimpin PAS dan Umno pada malam sebelumnya langsung tidak menyentuh mengenai pembentukan semula MN.
Pakatan Umno-PAS telah dirasmikan pada 2019 ketika Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan. Piagam tersebut akhirnya terbubar selepas PAS membentuk Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu pada tahun berikutnya.
BN ditunjangi Umno akan bergerak solo pada PRN Johor, sekali gus menyaksikan pertembungan dengan PH dan PN.
BN menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN Johor, majoriti selesa yang diperoleh pada PRN 2022. Sebanyak 33 kerusi dimiliki Umno. Daripada tiga kerusi dimenangi PN, hanya kerusi Maharani dimenangi PAS.
Ditanya sama ada seruan PAS untuk MN mencerminkan keikhlasan menyatukan pengundi Melayu-Islam, dua penganalisis berkata langkah tersebut dilihat lebih condong perkiraan politik, berbanding prinsip.
Hisomuddin merujuk gesaan itu dibuat ketika hubungan PAS dengan Bersatu dalam PN kini sudah tidak menentu.
“PAS menyedari Umno kini berada dalam keadaan lebih stabil, berbanding beberapa tahun lalu. Sebelum ini, PAS memilih meninggalkan MN dan memberikan keutamaan kepada kerjasama bersama Bersatu melalui PN.
“Dalam keadaan tersebut, PAS kembali mengangkat naratif perpaduan Melayu dan Islam sebagai asas untuk membuka semula ruang kerjasama dengan Umno,” katanya.
Namun, beliau mempersoalkan sama ada PAS sanggup melakukan kompromi sama sekiranya MN dihidupkan semula.
“Jika PAS benar-benar ikhlas mahu mengembalikan kerjasama tersebut, adakah mereka bersedia memberikan lebih banyak ruang kepada Umno di negeri yang kini menjadi kubu kuat PAS seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah? Adakah PAS sanggup mengorbankan sebahagian kerusi yang mereka kuasai bagi membuktikan komitmen terhadap kerjasama yang seimbang?”
Tawfik berkata, mustahil bagi PAS memberikan konsesi di tiga negeri ditadbirnya memandangkan dominasi parti itu.
