
PETALING JAYA: Pendaki Jaslinda Saludin, 49, yang hilang sejak 15 hari di Gunung Batu Putih ditemukan selamat hari ini.
Utusan Malaysia memetik Ketua Polis Perak Alwi Zainal Abidin mengesahkan perkara itu.
Dilaporkan, mangsa ditemui oleh penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu Pos Musoh yang kemudian menghubungi pihak berkuasa.
Tular di Facebook, memaparkan rakaman video dipercayai Jaslinda yang sedang menikmati mi segera, di sebuah rumah komuniti Orang Asli.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda diaktifkan 25 Mei susulan wanita itu hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.
Difahamkan, mangsa cedera di kaki sebelum itu berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki dan seorang malim gunung di Kem Batu Core selepas lelaki terbabit mengalami masalah pernafasan.
Namun, Jaslinda gagal dikesan selepas wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung.
