Kami tanding semua kerusi Johor, MN bukan PN, tegas Sahruddin

SAHRUDDIN JAMAL
Pengerusi PN Johor Sahruddin Jamal, berkata jika PAS mengurangkan kerusi ditandinginya, maka parti lain dalam PN akan bertanding di kerusi tersebut.

PETALING JAYA: Formula Muafakat Nasional (MN) 2.0 dicadangkan Annuar Musa bercanggah dengan pendirian Perikatan Nasional (PN) yang berhasrat bertanding semua kerusi, kata Pengerusi PN Johor Sahruddin Jamal.

Beliau berkata, cadangan Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu dalam konteks MN, bukannya PN.

“Memang sangat bercanggah.

“Cuma, saya nak tanya adakah pihak PAS sendiri bersetuju dengan formula diberi Annuar Musa kerana pimpinan PAS sendiri pun belum menyatakan apa-apa komitmen mengenai MN?” katanya yang juga ketua Bersatu Johor kepada FMT.

Pada 4 Jun, Annuar mencadangkan formula MN 2.0 yang memberi ruang kepada Umno bertanding antara 80% hingga 90% kerusi majoriti Melayu di Johor, manakala PAS bertanding sekitar 10% hingga 20% kerusi.

Cadangan itu dikemukakan sebagai usaha mengelakkan pertembungan sesama parti Melayu dan memperkukuh kerjasama politik menjelang PRU16.

Sebelum ini, media turut melaporkan PN Johor berhasrat bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang, dengan kira-kira 80% rundingan pembahagian kerusi dalam gabungan itu telah diselesaikan.

Mengulas lanjut, Sahruddin berkata PN Johor kekal dengan pendirian bertanding di semua kerusi sebagaimana dipersetujui sebelum ini.

“PN akan bertanding semua kerusi yang telah kita sepakat sebelum ini. Kalau PAS kurangkan kerusi dia, kita akan bertanding di kerusi-kerusi PAS itu,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai cadangan MN 2.0 kerana menurutnya ia tidak melibatkan PN.

“Saya tak nak komen sangat pasal MN ini sebab MN bukan gabungan PN,” katanya.

Author: admin