
PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menyeru negeri lain mencontohi inisiatif upah premium Johor, sambil menyatakan langkah itu dapat membantu mengekalkan bakat tempatan dan mengurangkan tarikan pekerjaan berpendapatan lebih tinggi di luar negara.
Santiago memuji langkah Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi yang menetapkan gaji permulaan bagi graduan baharu pada kadar RM4,000 dan ke atas.
Beliau mengambil maklum Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) telah memudahkan 7,773 penempatan pekerjaan antara Januari dan April tahun ini, berbeza dengan Kuala Lumpur dan Selangor yang masing-masing mencatatkan kehilangan pekerjaan 25.6% dan 29.3%.
“Inisiatif gaji premium Johor ini hadir tepat pada masa,” katanya dalam siri hantaran di X dengan memetik laporan lebih 900 pelajar tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Februari lalu, yang mana sebahagian mereka memilih bekerja di Singapura demi gaji lebih baik.
“Ketika ramai anak muda Malaysia berhijrah demi peluang lebih baik di luar negara, kita menyambut baik usaha memberi tumpuan kepada upah lebih berbaloi dan laluan kerjaya lebih kukuh di tanah air sendiri.
“Inisiatif gaji premium ini tidak sepatutnya kekal sebagai dasar Johor sahaja. Ia patut dijadikan model bagi negeri lain yang berhasrat mengekalkan bakat serta membina tenaga kerja lebih berdaya saing.”
Pada Khamis, Onn Hafiz mengumumkan graduan baharu di Johor kini boleh meraih pendapatan RM4,000 dan ke atas di bawah inisiatif gaji premium negeri itu, manakala graduan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) pula boleh memperoleh antara RM4,000 hingga RM5,000 atau lebih, bergantung kepada kelayakan dan kemahiran.
Beliau berkata, kadar upah berkenaan didorong komitmen pelabur di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dimudahcarakan JTDC.
Santiago mengakui sesetengah pihak mungkin melihat inisiatif berkenaan bermotifkan politik menjelang pilihan raya, namun beliau menegaskan impaknya harus menjadi pertimbangan utama.
“Ada yang akan melihat ini sebagai dasar tahun pilihan raya. Tidak apalah. Tetapi, jika ia membantu mengekalkan bakat, menaikkan kadar upah, dan mencipta peluang lebih baik untuk anak muda Malaysia, itu menjadi perkembangan positif tanpa mengira soal politik.
“Sekarang, mari kita lihat parti mana yang mempunyai rancangan lebih berani atau menjelaskan mengapa anak muda Malaysia layak menerima layanan yang kurang daripada itu,” katanya.
