
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas 12 Jun ini bagi membincangkan pelaksanaan PRN Johor.
Setiausaha Khairul Shahril Idrus berkata, SPR menerima pemakluman rasmi Selasa lalu daripada Speaker Johor Puad Zarkashi berhubung pembubaran DUN.
“Berdasarkan Fasal 23 (4) Bahagian Kedua, Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dakam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran dewan negeri tersebut.
“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan satu mesyuarat khas pada 12 Jun yang akan dipengerusikan Pengerusi SPR Ramlan Harun,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mesyuarat itu akan membincangkan tarikh penting PRN Johor seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian dan persiapan lain.
Katanya, satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat khas tersebut berakhir.
DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu untuk memberi laluan kepada PRN yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
