
KANGAR: Hasil pertemuan Menteri Besar Abu Bakar Hamzah dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberikan manfaat kepada kerajaan Perlis apabila mendapat peruntukan RM4 juta daripada kerajaan persekutuan.
Daripada jumlah itu, kerajaan negeri membelanjakan RM1.5 juta untuk pemberian sumbangan Aidilfitri kepada golongan memerlukan dan RM1 juta digunakan bagi penganjuran kenduri rakyat bersempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
RM1 juta lagi diberikan kepada Pejabat Pembangunan Persekutuan Perlis, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk menaik taraf Dataran Lok 9 di Kuala Perlis, manakala RM300,000 untuk penganjuran festival rakyat.
“Maknanya, agihan RM3 juta untuk dilaksanakan kerajaan negeri dan RM1 juta kepada ICU JPM,” katanya kepada pemberita pada persidangan DUN Perlis di Kompleks Seri Putra.
Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis menerima kemudahan peruntukan bagi pelaksanaan projek menaik taraf prasarana termasuk mengatasi masalah banjir, hasil pertemuan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof serta menteri lain.
Beliau berkata Perlis diberi kemudahan berurusan dengan pimpinan kerajaan persekutuan, maka sangat penting untuk kerajaan negeri mengekalkan hubungan baik demi manfaat pembangunan negeri dan kebajikan rakyat Perlis.
“Wakil-wakil rakyat juga perlu memainkan peranan untuk membina hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
