Peguam fail rayuan semakan kehakiman berhubung isu tak isytihar darurat

istana kehakiman Federal Court
Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar fail notis usul kepada Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas.

PUTRAJAYA: Peguam Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar memfailkan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kebenaran merayu berkaitan semakan kehakimannya berhubung keputusan bekas Yang di-Pertuan Agong yang tidak bertindak atas nasihat perdana menteri untuk mengisytiharkan darurat, lima tahun lepas.

Beliau berkata, notis usul itu difailkan pada Jumaat lepas melalui firma guaman Messrs R Kengadharan & Co.

Pada 4 Mei lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, terdiri Hakim Mahkamah Persekutuan Collin Lawrence Sequerah, Hakim Mahkamah Rayuan Supang Lian dan Alwi Abdul Wahab menolak rayuan Syed Iskandar.

Syed Iskandar sebelum ini memfailkan saman pemula pada 2020, memohon untuk menentukan sama ada Akta A514 yang meminda Perkara 150 dengan menambah Fasal (8) dan (9) adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan, justeru terbatal dan tidak sah.

Beliau menamakan kerajaan Malaysia dan 10 lagi sebagai defendan.

Pada 15 Feb 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman pemula difailkan Syed Iskandar, antara lain memohon mahkamah menentukan sama ada di bawah Perkara 40 dan 150 Perlembagaan, Agong mempunyai kuasa untuk menolak pengisytiharan darurat walaupun dinasihatkan untuk berbuat demikian oleh perdana menteri atau Jemaah Menteri.

Sequerah berkata, Perkara 150(8) Perlembagaan menyatakan bahawa perkara itu tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mahkamah.

Author: admin