Bayi dicampak dari tingkat 10, wanita mengaku salah bunuh tak sengaja

mahkamah sesyen majistret johor bahru
Mahkamah Sesyen Johor Bahru menetapkan jaminan RM20,000 terhadap Nuran Batrisya Jamaludin, 22, selain menetapkan 3 Julai ini bagi hukuman dan fakta kes. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Wanita mengaku salah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan membunuh secara tidak sengaja seorang daripada kembar anak perempuannya dengan cara mencampak bayi itu dari tingkat 10 sebuah flat, bulan lalu.

Tertuduh, Nuran Batrisya Jamaludin, 22, mengangguk faham ketika membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee, lapor Kosmo.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita masih bujang berkenaan didakwa melakukan kesalahan menyebabkan kematian bayi perempuan dengan niat kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematiannya.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di kawasan parkir kereta sebuah blok Program Perumahan Rakyat (PPR) di Taman Sutera Utama, di sini, antara 11 pagi hingga 2.30 petang, 20 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Nevina, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nevina tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes tersebut tidak dibenarkan jaminan selain memohon mahkamah agar memberi masa untuk fakta kes serta hukuman.

Dalam rayuannya, Nuran Batrisya memohon mahkamah membenarkan jaminan terhadapnya dengan alasan mahu menjaga seorang lagi anak yang baru dilahirkan iaitu kembar mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin warga tempatan, selain pasport perlu diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan sekali sebulan.

Zamir turut melarang tertuduh menganggu saksi pendakwaan serta menetapkan 3 Julai ini bagi pentepan hukuman dan fakta kes.

Terdahulu, media melaporkan polis menjalankan siasatan dakwaan tular melibatkan bayi perempuan yang maut dipercayai dicampak dari tingkat 10 sebuah PPR.

Author: admin