Siasatan AS dapati Malaysia gagal sekat produk buruh paksa

generic port ship container
Malaysia antara 60 negara disiasat Wakil Perdagangan AS berhubung kegagalan mengena dan menguatkuasakan larangan ke atas import barangan yang dihasilkan buruh paksa. (Gambar Envato Elements)

PETALING JAYA: Siasatan Amerika Syarikat (AS) mendapati Malaysia gagal menguatkuasakan larangan ke atas import barangan dihasilkan sama ada secara keseluruhan atau sebahagiannya melalui buruh paksa.

Laporan Pejabat Wakil Perdagangan AS menyatakan, kegagalan Malaysia mengena dan menguatkuasakan larangan sedemikian disifatkan ‘tidak munasabah’.

“Hasil siasatan ini menunjukkan tindakan, dasar, dan amalan Malaysia berkaitan kegagalan mengena dan menguatkuasakan larangan import buruh paksa secara berkesan adalah tidak munasabah serta membebankan atau menyekat perdagangan AS,” menurut laporan itu.

Malaysia antara 60 negara disiasat oleh Wakil Perdagangan AS berkait kegagalan mengena dan menguatkuasakan larangan ke atas import barangan dihasilkan buruh paksa.

Negara lain yang turut disiasat termasuk Australia, Kanada, China, Jepun, New Zealand, Singapura, dan Korea Selatan.

Laporan itu mendapati semua 60 negara itu gagal mengen atau menguatkuasakan larangan tersebut secara berkesan, yang menurutnya menjejaskan usaha pembasmian buruh paksa dan membolehkan syarikat yang menggunakan tenaga kerja sedemikian mengeluarkan barangan pada kos lebih rendah, sekali gus memesongkan keadaan pasaran.

Ia menyatakan perkara berkenaan juga menjejaskan keuntungan firma yang tidak menggunakan buruh paksa, selain membolehkan pihak yang bersalah mengelak daripada sekatan sedia ada.

Wakil Perdagangan AS berkata, menyatakan Malaysia telah membuat komitmen berhubung larangan import buruh paksa di bawah perjanjian perdagangan timbal balas dengan AS, walaupun perkara tersebut telah diisytiharkan terbatal oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Ghani pada Mac lalu.

Walaupun Pejabat Wakil Perdagangan AS memuji Malaysia dan negara lain atas komitmen itu, pihak mereka menegaskan ia mestilah disusuli bersama tindakan.

“Sehingga komitmen tersebut dilaksanakan, produk AS akan terus bersaing dengan produk buruh paksa yang mempunyai kelebihan daya saing di pasaran global, yang mana antara sebab lain yang dijelaskan dalam laporan berkenaan adalah tidak munasabah,” menurut laporan itu.

Ia turut mencadangkan agar Washington mengenakan duti tambahan 10% ke atas produk Malaysia berikutan kegagalannya melarang import buruh paksa.

Pada Mac lalu, Johari memberi amaran Washington boleh mengenakan tarif sehingga 10% ke atas Malaysia di bawah Akta Perdagangan AS, berdasarkan hasil siasatan terbabit.

Namun, menteri perdagangan itu berkata, tarif hanya boleh berkuat kuasa sekitar lima bulan sebelum siasatan lanjut dijalankan.

Author: admin