Polis sah terima laporan budak 7 tahun dipaksa minum air cili

Bahrin Mohd Noh
Ketua Polis Kluang Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya terima laporan daripada penjaga kanak-kanak itu kira-kira 8.46 malam semalam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis telah menerima laporan berkaitan kejadian seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun didakwa dipaksa minum air cili di sebuah taska di Kluang malam tadi.

Ketua Polis Kluang Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan daripada penjaga kanak-kanak itu kira-kira 8.46 malam.

Menurutnya, pengadu tidak berpuas hati dengan tindakan guru taska terletak di Taman Sri Kluang yang memaksa kanak-kanak itu minum air cili.

“Kes masih dalam siasatan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kluang menerusi talian 07-7784222.

Terdahulu, tular kenyataan dimuat naik di laman Facebook ‘This is Johor’ berhubung tindakan dilakukan guru taska itu yang didakwa mendera dan menghukum pelajar secara fizikal.

Author: admin