Bekas timbalan menteri puji Amirudin berani tegur ‘selective loyalty’

ti lian ker
Bekas timbalan menteri perpaduan negara Ti Lian Ker berkata perjuangan sebenar ialah siapa paling amanah menjaga negara dan kebajikan rakyat.  (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang bekas timbalan menteri perpaduan negara memuji tindakan berani dan jarang berlaku oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang menggesa semua pihak menghentikan amalan ‘selective loyalty’ kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ti Lian Ker berkata, dalam landskap politik tempatan yang semakin dipenuhi retorik melampau, Amirudin memilih untuk “bercakap berdasarkan prinsip, bukannya atas kehendak pasaran politik semasa”.

“Sama ada seseorang bersetuju atau tidak dengan politik beliau, keberanian untuk berkata benar demi kestabilan negara dan keharmonian rakyat harus dihormati.

“Negara memerlukan lebih ramai pemimpin yang berani mempertahankan prinsip walaupun ia tidak popular, bukannya pemimpin sekadar mengikut permintaan politik semasa,” katanya dalam catatan Facebook.

Semalam, Amirudin dilaporkan berkata, semua pihak termasuk pembangkang perlu menghentikan amalan ‘selective loyalty’ yang konon mempertahankan raja, agama dan bangsa hanya jika menguntungkan kedudukan politik mereka, namun mengabaikan prinsip sama jika tidak memihak kepentingan sendiri.

Katanya, mereka juga dilihat membisu atas faktor politik apabila terdapat pihak luar yang menghina serta mencela kewibawaan institusi diraja Selangor.

Amirudin dipercayai merujuk Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, Sanusi Nor, yang didakwa pada 2023 kerana menghina Sultan Sharafuddin dan Yang di-Pertuan Agong.

Menteri besar Kedah itu pada mulanya didakwa atas dua pertuduhan hasutan, tetapi dibebaskan daripada pertuduhan membabitkan Sultan Selangor selepas memohon maaf.

Selasa lalu, Sultan Sharafuddin menyarankan Adun Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas exco Selangor, Ronnie Liu ke Dataran Selangor sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi memahami serta menghayati prinsip Rukun Negara dan menghormati kedaulatan institusi diraja, susulan reaksi mereka terhadap titah Sultan Selangor supaya penternakan babi di negeri itu dihentikan sepenuhnya.

Bekas Ahli Parlimen Damansara daripada DAP, Tony Pua kemudian berkata, kuasa raja dihadkan sepenuhnya kepada aspek yang ditakrifkan seperti adat resam Melayu, Islam dan peranan perlembagaan, yang mendorong kecaman daripada pemimpin Umno dan PAS serta siasatan polis.

Ti memberi amaran supaya tidak menjadikan bangsa, agama atau institusi sebagai alasan untuk merampas, menyanggak, merompak atau menghalalkan budaya ‘rent-seeking’ demi kepentingan golongan elit atau kelompok tertentu.

“Perjuangan sebenar bukan tentang siapa paling lantang meniup sentimen, tetapi siapa paling amanah menjaga negara dan kebajikan rakyat.

“Malah, budaya mengambil kesempatan atas nama perjuangan juga bertentangan dengan tuntutan agama yang menekankan keadilan, integriti dan amanah.”

Author: admin