
PETALING JAYA: Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, berkata kerajaan menghantar notis tuntutan kerugian lebih RM1 bilion kepada sebuah syarikat pertahanan Norway semalam susulan pembatalan kontrak pembelian sistem peluru berpandu antikapal (NSM).
Menurutnya, kerajaan menuntut kos langsung dan tidak langsung susulan keputusan Norway menarik balik lesen eksport bagi sistem pertahanan itu.
Beliau berkata, Malaysia sudah membuat bayaran €126 juta (RM583 juta), iaitu hampir 95% daripada nilai keseluruhan kontrak, sebelum lesen itu dibatalkan.
“Kami menuntut kos langsung dan tidak langsung. Kos langsung berjumlah €126 juta , iaitu jumlah yang telah kami bayar kepada mereka,” katanya menurut Berita Harian.
Menurut laman web Kongsberg Defence & Aerospace, kontrak perolehan NSM dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia dan syarikat itu pada April 2018 dengan nilai €124 juta (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal tempur pesisir (LCS) baharu.
Khamis lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengecam keputusan Norway menarik balik lesen eksport bagi sistem NSM serta sistem pelancar berkaitannya yang disifatkannya tidak boleh diterima.
Beliau berkata, Malaysia telah memenuhi setiap kewajipan di bawah kontrak itu sejak 2018 dan kontrak yang ditandatangani adalah instrumen serius yang tidak boleh diperlakukan dengan sewenang-wenangnya.
BERITA LANJUT MENYUSUL
