
PETALING JAYA: Seorang murid perempuan Tahun Dua dilaporkan maut selepas dilanggar sebuah van di hadapan sebuah sekolah rendah di Parit Sulong di Batu Pahat, Johor tengah hari tadi.
Menurut laporan Berita Harian, mangsa Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari itu, mangsa dilaporkan baru selesai sesi persekolahan di SK Seri Maimon sebelum bergerak keluar dari pintu pagar sekolah.
Difahamkan, van terbabit juga ketika itu juga keluar dari pagar sekolah selepas menghantar barang, namun dikatakan tidak menyedari keberadaan mangsa.
Kejadian disaksikan beberapa ibu bapa yang kebetulan menunggu anak masing-masing pulang dari sekolah.
Jenazah kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Batu Pahat Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Katanya, kenyataan berhubung kejadian itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat sebaik siasatan awal selesai.
