
PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki 10 tahun yang dihanyutkan arus deras selepas terjatuh dalam longkang di Bandar Puncak Alam tiga hari lalu ditemui lemas hari ini.
Mayat Khairil Izani Khaizalullinudin ditemui terapung oleh anggota di sebatang sungai di Sungai Buloh pada 1 tengah hari tadi, kira-kira 10km dari lokasi mangsa terjatuh, lapor Sinar Harian.
Ketua Zon 7 Selangor Utara Bomba Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, mangsa ditemui Pasukan bomba PPDA bersama PBS Saujana Utama yang melakukan pencarian di sungai berkenaan.
“Mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian, masih berbaju cerah dan memakai seluar hitam,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa akan dibawa ke Unit Forensik Hospital UiTM bagi tujuan bedah siasat.
“Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam kejadian itu, mangsa dilaporkan jatuh ke dalam longkang pada 3.30 petang dan hanyut dibawa arus deras ketika hujan lebat.
